Mar 26, 2026 6PM
SC lancar FIKRALab: Inovasi pasaran modal Islam berpandukan Maqasid Syariah
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Makmal Inovasi ICM (FIKRALab), sebuah platform kolaboratif berstruktur yang memfokuskan kepada penyelidikan serta pembangunan gunaan bagi menghasilkan produk dan instrumen baharu dalam pasaran modal Islam (ICM).
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjelaskan bahawa FIKRALab merupakan inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 yang bertujuan memperkasa pembangunan pasaran modal Islam (ICM) Malaysia berteraskan maqasid syariah serta berlandaskan prinsip halal, suci dan bersih.
“Melalui FIKRALab, SC mahu memangkinkan pembangunan produk dan perkhidmatan ICM yang dipacu maqasid al-syariah yang memberikan objektif beretika, nilai ekonomi sebenar serta impak sosial yang lebih luas.
“Inovasi ini bertujuan memelihara keperluan asas kesejahteraan manusia iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta di samping menyelaraskan modal dengan aktiviti ekonomi yang produktif serta memajukan kemakmuran bersama dan mampan,” menurut pihak kawal selia itu dalam kenyataan hari ini.
SC memaklumkan FIKRALab dibangunkan hasil daripada usaha berterusan dalam memupuk inovasi dalam ICM.

Usaha tersebut bermula dengan FIKRA, program pemecut teknologi kewangan Islam Malaysia yang dilancarkan pada 2021, diikuti FIKRA ACE yang diperkasakan dengan penekanan kepada pemudah cara bersasar, penglibatan industri serta pengukuhan kesalinghubungan ekosistem teknologi kewangan
“FIKRALab memperluas pembangunan ekosistem dengan melangkaui inovasi ICM bertumpuan teknologi kewangan, seterusnya membolehkan kerjasama lebih erat dan penciptaan bersama lebih kukuh antara SC dan industri dalam penjanaan idea, penyelidikan, reka bentuk produk serta ujian rintis.
“Platform itu memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan instrumen dan penyelesaian baharu yang selaras dengan maqasid al-syariah,” katanya.
SC menambah bahawa FIKRALab dijangka menjana fungsian, produk dan infrastruktur baharu dalam pasaran modal Islam (ICM) dengan hasil berasaskan nilai yang lebih jelas. Inisiatif ini turut menggalakkan penglibatan lebih aktif antara pemain industri dan pihak kawal selia, selain meningkatkan keyakinan pasaran terhadap inovasi yang berteraskan maqasid al-syariah.
Antara komponen utama FIKRALab ialah Klinik Maqasid al-Syariah, iaitu satu pendekatan berstruktur yang merangkumi sesi libat urus terpilih yang diterajui SC serta simposium perkongsian ilmu bersama pakar dalam bidang berkaitan. Pendekatan ini bertujuan menilai dan memperkukuh penambahbaikan produk ICM sedia ada, menurut suruhanjaya itu.
“Melalui klinik ini, SC akan bekerjasama dengan peserta industri, penasihat syariah dan pakar bidang berkaitan yang dikenal pasti untuk memperkukuh saranan nilai terhadap instrumen ICM semasa, menguatkan lagi pautan dengan ekonomi sebenar serta memberikan impak sosial dan ekonomi yang lebih besar,” katanya kenyataan itu lagi.
SC memaklumkan pelaksanaan FIKRALab akan dibuat secara berfasa, dimulakan dengan projek perintis bersama sebuah institusi kewangan bagi membangunkan instrumen yang berupaya meneroka potensi penjanaan pendapatan patuh syariah dalam kumpulan aktiviti campuran.
“Fasa berikutnya dijangka bermula pada suku keempat 2026 dengan pembukaan permohonan bagi kohort sulung FIKRALab. Pengambilan kohort akan dilaksanakan setiap tahun dengan penetapan bidang tumpuan yang berbeza untuk setiap kitaran,” katanya.
Bagi kohort pertama, antara keutamaan termasuk pembangunan produk dan perkhidmatan ICM generasi baharu yang menawarkan proposisi nilai unik, pengukuhan kewangan sosial dan modal sosial Islam, serta inisiatif pembiayaan berkaitan kelestarian dan peralihan.
SC turut mempelawa inovator dan pihak berkepentingan industri yang mempunyai cadangan inovasi dalam ICM untuk menyatakan minat dan berhubung dengan pihaknya melalui [email protected] sebelum 30 September 2026.
Maklumat lanjut berhubung inisiatif ini akan diumumkan dari semasa ke semasa, menurut suruhanjaya itu.
Waktu Solat


27 Mar 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:57

















